Cart 0

Menghargai air sebagai sumber kehidupan

AIR adalah sumber penting dalam kehidupan. Di dalam al-Quran, ayat 30, surah al-Anbiya’ menjelaskan dengan maksudnya: “... dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup, maka mengapa kamu tidak mahu beriman? Ayat ini menunjukkan betapa air memainkan peranan yang penting dalam kejadian pelbagai makhluk Allah SWT dan untuk itu makhluk tersebut juga berhajat terhadap air.

Oleh itu, boleh dilihat bahawa 60 peratus daripada tubuh manusia adalah air dan sebahagian besar daripada jumlah air itu terdapat di dalam sel manusia. Selain itu, hampir 71 peratus muka bumi dipenuhi air. Bukan sahaja di laut, air juga wujud di dalam udara (wap air), sungai, tasik, tukup ais, glasier, tanah dan akuifer.

Malah, melalui kitaran air, air di planet bumi ini bergerak secara tetap dari satu tempat ke tempat lain dan tanpa kitaran ini, bumi akan hilang ‘nyawanya’. Jelas, air adalah nadi kehidupan.

Dari satu segi, air amat penting demi kelangsungan hidup manusia. Air digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan manusia. Bukan sahaja untuk minum, air juga digunakan dalam pelbagai bentuk kegiatan harian manusia seperti membasuh, mandi, beribadat dan sebagainya.

Selain kegunaan domestik, air juga penting dalam kegiatan ekonomi seperti perindustrian, perkilangan dan pengangkutan. Malah, air juga memungkinkan penjanaan tenaga elektrik berlaku di empangan-empangan.

Dari sudut lain, air juga boleh membawa kemusnahan kepada manusia. Kemusnahan ini terjadi apabila berlakunya masalah banjir, banjir lumpur mahupun pencemaran air di sungai serta hujan asid.

Walau bagaimanapun, perlulah ditegaskan di sini bencana yang disebutkan itu hanya akan berlaku apabila manusia sendiri gagal menguruskan air dan alam persekitaran dengan baik.

Apabila manusia tidak menjaga kebersihan, membiarkan sampah bertaburan tanpa diurus, menebang pokok secara rakus, menggondolkan tanah tanpa belas kasihan, membebaskan bahan cemar ke air tanpa rasa bersalah, membangunkan kawasan tanpa perancangan yang bijak dan mesra alam, maka ketika itulah air membawa malapetaka kepada kehidupan manusia.

Namun adakah manusia sedar akan hakikat kepentingan air? Adakah mereka tahu bahawa bukan mudah untuk memperoleh air bersih? Adakah mereka mengakui untuk mendapatkan air, maka alam sekitar secara keseluruhannya perlu dipelihara dan dipulihara? Dan adakah mereka insaf dengan kenyataan bahawa manusialah agen perosak kualiti dan kuantiti air yang paling aktif?

Apabila melihat kepada kemusnahan sumber air masa kini, persoalan tentang kesedaran kepen­tingan air dan persoalan menghargai air seolah-olah telah dijawab. Kenyataannya, tidak ramai yang sedar tentang kepentingan sumber air. Apabila tiada kesedaran, maka mampukah mereka menghargai sumber anugerah Ilahi itu? Saban hari ada sahaja berita tentang kemusnahan sumber air.

Misalnya, pada awal Mac 2015, dilaporkan tentang pencemaran air di Cameron Highlands yang berpunca daripada penerokaan tanah secara tidak terkawal dan penggunaan racun perosak yang diharamkan. Begitu juga dengan pencemaran air di perairan pantai Batu Feringghi yang berpunca daripada pembuangan sisa restoran, pusat membasuh kereta dan kedai dobi. Kes ini dibangkitkan sejak awal 2014 lagi dan sehingga kini usaha-usaha menyelamatkan kawasan peranginan itu masih giat dilaksanakan.

Dua contoh di atas adalah sebahagian daripada kes-kes yang dilaporkan. Namun, dipercayai masih terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan dan pastinya ini menimbulkan kebimbangan kepada semua. Sampai bila hal ini harus berlaku dan sampai bila kita akan bersikap sambil lewa terhadap air yang menjadi sumber kelangsungan hidup?

Sikap tidak acuh ini sebenarnya menggambarkan nilai kita terhadap sumber air tersebut. Walaupun manusia amat memerlukan air, namun kita meletakkan nilai yang amat rendah terhadap sumber berkenaan. Malah dalam banyak keadaan kita menilai air mahupun sumber alam yang lain berdasarkan kepentingan diri manusia semata-mata.

Misalnya, manusia memerlukan air untuk minum maka air itu penting. Namun, air bukan semata-mata untuk manusia. Terdapat makhluk lain di bumi ini yang juga bergantung kepada air untuk kelangsungan hidup. Namun, berapa ramai yang menyedari hakikat ini?

Oleh itu, membentuk nilai yang betul terhadap alam sekitar amatlah penting. Nilai di sini bukan sahaja merujuk kepada nilai alam dan sumbernya yang boleh digunakan oleh manusia tetapi nilai yang melihat alam serta isinya sebagai ciptaan Allah SWT dan mempunyai hak untuk mendiami bumi sama seperti manusia. Jika manusia tunduk patuh kepada Allah SWT, alam dan isinya juga begitu.

Ini ditunjukkan dalam ayat 18, surah al-Hajj (22), yang maksudnya; Tidakkah engkau melihat semua yang berada di langit dan bumi, juga matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok-pokok dan haiwan serta ramai manusia bersujud kepada Allah.” Maka, adakah wajar kita merampas hak alam dan isinya itu?

Maka, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kuantiti dan kualiti air berada pada tahap yang tertinggi sehingga boleh digunakan oleh manusia dan makhluk hidup lain dalam generasi ini mahupun generasi akan datang. Bagi tujuan itu, perubahan cara hidup masa kini perlu dilakukan segera dan harus dilakukan secara bersama bagi memastikan kesan yang signifikan.

Salah satu perubahan adalah perubahan mikro yang melibatkan pengguna secara langsung. Dianggarkan setiap orang menggunakan antara 300 hingga 350 liter air sehari. Jika jumlah ini didarabkan dengan jumlah penduduk dunia yang mencecah tujuh bilion, maka boleh dibayangkan betapa banyak air diperlukan oleh manusia dalam sehari.

Dengan itu, pengguna hendaklah memberi tumpuan kepada pengurangan dan penjimatan serta mengamalkan penggunaan berhemah. Tahukah anda bahawa mengepam tandas dicatatkan sebagai aktiviti yang paling banyak menggunakan air di rumah dan ini diikuti dengan penggunaan air untuk mandi? Atas alasan inilah maka pada masa kini, tandas jimat air dan ruang mandi (pancuran air) menjadi fokus utama pemuliharaan air di rumah.

Perubahan makro, iaitu perubahan pada skala besar pula memerlukan perancangan teliti serta kerjasama semua pihak. Dalam konteks ini, alam seharusnya dilihat sebagai satu sistem yang besar dan rencam. Oleh itu, satu-satu pembangunan dirancang mesti boleh menjangkakan kesan alam sekitar bukan sahaja di tapak pembangunan tetapi merangkumi perubahan persekitaran tapak pembangunan secara menyeluruh.

Ini kerana pembangunan tanah di satu kawasan sebenarnya boleh memberi impak bukan sahaja terhadap kawasan tanah tersebut tetapi turut memberi kesan kepada sumber lain seperti air dan udara. Sebagai kesimpulan, perubahan adalah kata kuncinya di sini. Oleh itu, marilah sama-sama kita berubah untuk memastikan kesejahteraan sumber air.

PENULIS ialah Fellow, 
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, 
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/menghargai-air-sebagai-sumber-kehidupan-1.69799#ixzz5Qssa9cb5 

© Utusan Melayu (M) Bhd 



Older post Newer post